Friday, August 21, 2009

H1N1: Jangan bawa budak melawat hospital

Sebuah hospital awam baru-baru ini mengedarkan beratus-ratus risalah mengingatkan orang ramai supaya jangan membawa anak kecil mereka semasa melawat saudara-mara atau rakan yang sakit di hospital.

Ini berikutan perkembangan terkini terhadap penularan wabak H1N1 di negara ini.

Walaupun tanpa kehadiran wabak H1N1, memang telah sedia ada peraturan yang tidak membenarkan pelawat membawa bersama mereka kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah bila berkunjung ke wad-wad di hospital, kata seorang pegawai
kejururawatan kanan di hospital itu.

"Ibu bapa macam tak kisah bila kita mengingatkan mereka supaya jangan membawa anak kecil bila nak masuk melawat di wad. Saya selalu mengingatkan ibu-ibu yang bayi dan anak mereka adalah terlalu kecil untuk melawat hospital," kata beliau.

Pegawai itu berkata ada ibu bapa yang menuruti nasihat tetapi ada
juga yang menganggap remeh peringatan yang diberi jururawat dan juga pengawal keselamatan.

Ada juga yang menjawab secara sinis " kami tahulah...' dan terus menuju ke wad bersama anak-anak kecil mereka.

"Memang tidak selamat bagi anak kecil melawat hospital. Tidak selamat bagi mereka dan juga tidak selamat bagi pesakit," tambah beliau.

Anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit kronik senang dijangkiti penyakit.

"Bila kia bercakap tentang penyakit kronik, ini meliputi pesakit yang ada kencing manis, kegagalan buah pinggang, asthma dan pelbagai masalah pernafasan serta juga beberapa masalah yang lain," kata seorang pakar penyakit respiratori Dr K Regesh.

Kata beliau, bagi pesakit seperti ini dan juga anak-anak kecil, sistem
ketahanan badan mereka rendah dan tidak sekuat orang dewasa yang sihat dan mereka ini lebih senang dijangkiti penyakit, bukan saja H1N1, tetapi juga penyakit berjangkit yang lain.

"Di hospital terdapat kuman-kuman yang lebih bahaya jika dibandingkan dengan tempat lain. Oleh itu harap jangan membawa anak kecil anda masuk wad walaupun hanya untuk bertanya kabar kepada pesakit.

"Kalau anda terpaksa juga melawat hospital bersama anak anda, bawalah bersama orang lain atau pembantu rumah yang boleh menunggu bersama anak kecil anda di bilik menunggu," katanya.

Bagi ibu bapa yang baru pulang dari hospital atau tempat kerja, Dr Regesh memberikan nasihat ini:

"Bila pulang daripada melawat keluarga atau kawan yang sakit di hospital, mandilah dulu dan tukar kepada pakaian yang bersih sebelum mendekati anak anda.

"Begitu juga bagi mereka yang baru balik dari kerja, bersihkan badan dulu dan tukar kepada pakaian lain sebelum menyentuh anak anda".

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri menyeru orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sendiri untuk mencegah wabak H1N1 daripada menular.

Antara langkah-langkah ini ialah memakai topeng surgikal apabila demam atau batuk dan juga bersin serta membasuh tangan dengan lebih kerap menggunakan sabun dan air.

Kalau anda demam dan sakit tekak, pergilah ke hospital berdekatan dan jangan keluar rumah atau menghampiri anggota keluarga anda.

Anda juga dinasihati tidak mengunjungi tempat awam atau lokasi yang ramai orang.

BERNAMA

Source http://www.malaysiakini.com/news/111087

Thursday, August 20, 2009

Ubat H1N1 maksimum RM80

Orang ramai boleh mendapatkan ubat antivirus bagi merawat influenza A (H1N1) dengan harga tidak melebihi RM80 sekotak di semua rangkaian klinik atau hospital yang menyertai kempen klinik
cegah dan rawat wabak tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, sebanyak 85 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

Beliau berkata di bawah kempen itu, klinik atau hospital swasta yang
menyertainya akan diberikan harga istimewa bagi membeli ubat antivirus FluHalt (Oseltamivir Phospate) keluaran Syarikat Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd.

"Apabila kita beri kata putus, iaitu klinik jangan jual harga antivirus ini
lebih tinggi daripada RM80.

"Saya rasa dengan jelas orang ramai boleh mendapat antivirus ini dengan lebih murah. Satu ketika dulu harganya meningkat sehingga RM180.

"Kita rasa ini adalah musim pandemik dan dengan sokongan pembekal ubatan farmasi, kita dapat mengurangkan harga ini.

"Saya harap klinik-klinik mendapatkan bekalan dan memberi rawatan dengan cepat kepada pesakit H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen klinik cegah dan rawat influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu tawaran harga rendah, klinik atau hospital swasta di bawah kempen ini juga digalakkan untuk mengenakan caj yang minimum bagi konsultasi kes-kes penyakit seakan-akan influenza (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan kepada pesakit.

Liow turut menegaskan bahawa tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana klinik atau hospital swasta yang enggan memberikan rawatan kepada pesakit H1N1 sebaliknya meminta pesakit dirujuk di klinik atau hospital kerajaan.

"Sebelum ini, ramai pesakit yang pergi ke klinik dan hospital swasta diminta merujuk kepada hospital kerajaan.

"Saya harap ini tidak berlaku lagi. Sudah tiba masanya semua klinik dan hospital swasta memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menangani wabak H1N1," katanya.

Alriz, sebuah syarikat bumiputera, dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan kempen bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan bagi influenza A(H1N1) dengan lebih mudah dan pada bayaran lebih rendah, di klinik-klinik peserta swasta di seluruh negara.

Sebuah laman web pelbagai bahasa www.h1n1.net.my telah disediakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai H1N1 serta membolehkan mereka mengesan klinik peserta yang terdekat dengan kawasan mereka.

Liow berkata Malaysia telah pun membuat tempahan awal bagi vaksin H1N1 dan bekalan pertama 400,000 dos akan tiba pada Oktober sementara yang kedua pada Januari.

Terdahulu, di Hospital Ampang, Liow menggesa syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa influenza A (H1N1) yang membeli insurans dengan mereka terutamanya jika pelanggan meninggal dunia akibat wabak itu.

"Ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu mereka jalankan memandangkan ketika ini tidak semua syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa H1N1," katanya.

BERNAMA

Source: http://www.malaysiakini.com/news/111042

Wednesday, August 19, 2009

Harga topeng H1N1 kini dikawal

Topeng penutup hidung dan mulut diisytiharkan sebagai barangan kawalan sementara berkuatkuasa serta merta dengan harga berkisar antara tujuh sen hingga RM6 seunit berdasarkan kualiti.

"Dalam keadaan sekarang, ramai orang perlukan topeng ini dan pihak berkuasa akan memantau perkara ini. Paling penting sekali ialah kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya ada kedai yang menjual lebih daripada harga yang ditetapkan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kementerian boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 di mana mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat yang ingkar pula boleh didenda tidak lebih daripada RM25,000, katanya.

Orang ramai boleh menelefon nombor bebas tol di talian 1 800 886 800 atau datang ke pejabat kementerian terdekat untuk membuat aduan sekiranya ada kedai yang menjual pada harga yang tinggi, katanya.

"Harga maksimum borong bagi satu kotak (100 keping) selapis bergelung ialah RM5 sekotak dan harga maksimum runcit ialah RM7 sekotak. Bagi dua lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM8 sekotak (100 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM 10 sekotak iaitu 20 sen seunit.

"Untuk tiga lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM25 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcit ialah 80 sen seunit. Bagi tiga lapis bertali, harga maksimum borong ialah RM 30 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcitnya pula ialah 80 sen seunit.

"Akhir sekali bagi jenis N95, harga maksimum borong ialah RM100 sekotak (20 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM6 seunit," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna bahawa Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya tidak menggunakan topeng selapis dan dua lapis kerana ia tidak berkesan untuk mencegah penularan influenza A H1N1.

Apabila ditanya sama ada harga topeng yang ditetapkan itu adil, Ismail Sabri berkata para peniaga masih mampu mengaut keuntungan kerana keperluan bagi ramai orang adalah lebih penting daripada bilangan yang sedikit.

"Saya percaya (ia) adil kepada orang yang ditimpa kesusahan. Pada peniaga pun kita sudah ambil kira dari segi keuntungan yang mereka perolehi. Bukan tiada harga untung langsung. Kita pentingkan rakyat, rakyat didahulukan," katanya.

Mengenai kebanyakan farmasi yang tidak mempunyai bekalan topeng yang mencukupi, Ismail berkata ketika ini kerajaan di dalam proses untuk mengimport lebih banyak bekalan bagi memenuhi kehendak pasaran.

"Memang kami tahu bekalan tak cukup tapi kami sedang import. Selain itu, ini juga di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk mengimport topeng ini kerana kementerian kami tiada pakar untuk mengetahui kriterianya. Topeng ini merupakan barangan kesihatan," katanya. BERNAMA

Source : http://www.malaysiakini.com/news/110963

Wednesday, August 12, 2009

H1N1 konspirasi kapitalis buat duit

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group
."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

Sumber : http://www.malaysiakini.com/news/110426

Sunday, August 9, 2009

Bukit Gambang Resort City (BGRC)



Pernahkah anda dengar Bukit Gambang Resort City atau BGRC yang terletak di Pahang?

BGRC merupakan taman tema air yang terbesar di Pantai Tmur. BGRC terletak berhampiran rumah tol Gambang.

Baru-baru ini (25 Jul 2009) saya berpeluang untuk melawat BGRC. Saya memilih BGRC untuk menghabiskan cuti mingguan saya selepas di beritahu oleh seorang rakan saya mengenai BGRC dan dimaklumkan tempatnya begitu bersih sekali.

Kami bertolak awal dari Kuala Lumpur dan tiba lebih kurang jam 10.00 pagi di rumah tol Gambang selepas menyusuri Lebuhraya Karak selama lebih kurang 2 1/2 jam.

Bayaran masuk ke Water Park ialah RM 19.90 untuk dewasa dan RM 12.90 untuk kanak-kanak antara umur 3 hingga 11 tahun.
BGRC sebenarnya baru sahaja diresmikan pada 20 Jul 2009 oleh YAB Menteri Besar Pahang

Sesuatu yang amat menarik disini ialah dimana anda boleh memasukkan nilai wang untuk anda belanja untuk makan-minum dan sebagainya ke 'wrist band' anda. Setiap kali anda belanja, kos perbelanjaan anda akan ditolak dari jumlah tersebut. Untuk memudahkan kerana anda tidak perlu membawa wang tunai anda. Baki wang yang tidak digunakkan akan dikembalikan sewaktu anda keluar nanti.

Kemudahan permainan air yang ada disini tidaklah sesuatu yang baru jika dibandingkan dengan A Famosa dan Sunway Lagoon tetapi yang pasti, BGRC amat bersih. Alasannya mungkin tempat ini masih baru tetapi melalui pemerhatian saya, tempat ini dijaga rapi oleh pekerja2 BGRC.

Sewaktu disana, salah seorang ahli keluarga saya telah mengalami kekejangan otot dan para pekerja BGRC menunjukkan kesungguhan memberi segala pertolongan kepada saya. Satu ketika, mereka membuat perancangan sehingga saya dibenarkan membawa masuk kenderaan saya kedalam untuk mengambil ahli keluarga saya yang tidak dapat berjalan ke kereta. Terima kasih kepada unit kecemasan BGRC dan pegawal2 keselamatan yang memberikan kerjasama mereka kepada saya.

Jika anda pengunjung dari luar Kuantan, mungkin boleh membuat perancangan untuk melawat tempat2 lain sekitar Kuantan seperti gerai2 makanan laut, menjamah ikan bakar. Pantai Timur juga terkenal dengan bahan2 ukiran tangan, batik, ikan masin dan lain-lain lagi.


Akhir sekali, saya amat mengalakkan semua untuk bercuti di BGRC bersama keluarga anak sambil menikmati layanan mesra pekerja2 di BGRC. Anda mesti akan terpegun dengan pengalaman yang akan anda bawa pulang ...

Untuk maklumat lanjut mengenai BGRC sila klik disini.

Jika diberi peluang insya'allah, saya ingin membawa keluarga saya kembali ke BGRC satu hari sambil menikmati kemudahan2 lain yang saya rasa masih dalah fasa pembinaan.

Syabas!