Friday, August 21, 2009

H1N1: Jangan bawa budak melawat hospital

Sebuah hospital awam baru-baru ini mengedarkan beratus-ratus risalah mengingatkan orang ramai supaya jangan membawa anak kecil mereka semasa melawat saudara-mara atau rakan yang sakit di hospital.

Ini berikutan perkembangan terkini terhadap penularan wabak H1N1 di negara ini.

Walaupun tanpa kehadiran wabak H1N1, memang telah sedia ada peraturan yang tidak membenarkan pelawat membawa bersama mereka kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah bila berkunjung ke wad-wad di hospital, kata seorang pegawai
kejururawatan kanan di hospital itu.

"Ibu bapa macam tak kisah bila kita mengingatkan mereka supaya jangan membawa anak kecil bila nak masuk melawat di wad. Saya selalu mengingatkan ibu-ibu yang bayi dan anak mereka adalah terlalu kecil untuk melawat hospital," kata beliau.

Pegawai itu berkata ada ibu bapa yang menuruti nasihat tetapi ada
juga yang menganggap remeh peringatan yang diberi jururawat dan juga pengawal keselamatan.

Ada juga yang menjawab secara sinis " kami tahulah...' dan terus menuju ke wad bersama anak-anak kecil mereka.

"Memang tidak selamat bagi anak kecil melawat hospital. Tidak selamat bagi mereka dan juga tidak selamat bagi pesakit," tambah beliau.

Anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit kronik senang dijangkiti penyakit.

"Bila kia bercakap tentang penyakit kronik, ini meliputi pesakit yang ada kencing manis, kegagalan buah pinggang, asthma dan pelbagai masalah pernafasan serta juga beberapa masalah yang lain," kata seorang pakar penyakit respiratori Dr K Regesh.

Kata beliau, bagi pesakit seperti ini dan juga anak-anak kecil, sistem
ketahanan badan mereka rendah dan tidak sekuat orang dewasa yang sihat dan mereka ini lebih senang dijangkiti penyakit, bukan saja H1N1, tetapi juga penyakit berjangkit yang lain.

"Di hospital terdapat kuman-kuman yang lebih bahaya jika dibandingkan dengan tempat lain. Oleh itu harap jangan membawa anak kecil anda masuk wad walaupun hanya untuk bertanya kabar kepada pesakit.

"Kalau anda terpaksa juga melawat hospital bersama anak anda, bawalah bersama orang lain atau pembantu rumah yang boleh menunggu bersama anak kecil anda di bilik menunggu," katanya.

Bagi ibu bapa yang baru pulang dari hospital atau tempat kerja, Dr Regesh memberikan nasihat ini:

"Bila pulang daripada melawat keluarga atau kawan yang sakit di hospital, mandilah dulu dan tukar kepada pakaian yang bersih sebelum mendekati anak anda.

"Begitu juga bagi mereka yang baru balik dari kerja, bersihkan badan dulu dan tukar kepada pakaian lain sebelum menyentuh anak anda".

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri menyeru orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sendiri untuk mencegah wabak H1N1 daripada menular.

Antara langkah-langkah ini ialah memakai topeng surgikal apabila demam atau batuk dan juga bersin serta membasuh tangan dengan lebih kerap menggunakan sabun dan air.

Kalau anda demam dan sakit tekak, pergilah ke hospital berdekatan dan jangan keluar rumah atau menghampiri anggota keluarga anda.

Anda juga dinasihati tidak mengunjungi tempat awam atau lokasi yang ramai orang.

BERNAMA

Source http://www.malaysiakini.com/news/111087

1 comment:

Anonymous said...

Harap-harap semua lebih beretika. Bila ada apa-apa permasalah selalu pemerintah di tunjuk jari tetapi nasihat-nasihat kita tak mengambil serious.
Marilah menjadi kaum yang lebih sensitif kepada permasalah sekarang demi generasi masadepan kita.